Pengerusi MIC Pulau Pinang, Datuk J Dhinagaran

KUALA LUMPUR – Ramai pihak termasuk pemain industri mengakui kepentingan pensijilan halal kerana ia satu aset berharga bagi perniagaan yang menawarkan banyak manfaat seperti peningkatan keselamatan makanan, kebersihan selain imej jenama yang baik.

Malah menurut Pengerusi MIC Pulau Pinang, Datuk J Dhinagaran, di Malaysia sendiri banyak restoran bukan Islam memberi keutamaan untuk mendapatkan pensijilan halal bagi memastikan pelanggan menerima makanan berkualiti.

Namun, katanya, isu berkaitan sijil halal perlu diberikan kebebasan dan ruang kepada pemilik premis perniagaan itu termasuk restoran untuk membuat ketetapan sama ada mahu memohonnya.

“Banyak perniagaan memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) terdapat pemeriksaan berterusan oleh pegawai majlis tempatan dan Jabatan Kesihatan di premis untuk kebersihan serta berdasarkan aduan daripada orang ramai.

“Selalunya andai terdapat aduan serius seperti kekotoran atau keracunan makanan, Jabatan Kesihatan mempunyai kuasa untuk mengarahkan penutupan sementara restoran selama kira-kira dua minggu.

“Malah PBT memberi penilaian kepada restoran yang membolehkan pelanggan mengenal pasti status dan kebersihan restoran tersebut melalui pelbagai cara termasuklah ulasan pelanggan, peraturan sedia dalam industri makanan dan sebagainya.

“Saya berpandangan  tiada keperluan untuk mengenakan peraturan wajib ke atas restoran bukan Islam untuk mendapatkan pensijilan halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Dhinagaran, sijil halal juga adakalanya membebankan restoran dengan kos untuk mendapatkan pengiktirafan itu selain mengekalkan ia saban tahun.

“Ini juga akan menyebabkan pemilik perniagaan restoran  bertindak memindahkan kos itu kepada pelanggan melalui kenaikan harga makanan.

“Saya percaya jika sesebuah restoran tidak memfokuskan kepada pelanggan muslim, mereka harus dibenarkan beroperasi tanpa pensijilan halal.

“Tidak perlu menjadikan pensijilan halal sebagai sesuatu yang wajib. Keputusan sama ada perlu atau tidak harus diserahkan kepada restoran untuk membuat keputusan sendiri,” tegasnya. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here