Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataan mengenai isu sijil halal akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), dalam minggu ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi hari ini.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dalam tempoh dua hari akan dimajukan kepada Pejabat AGC untuk pandangan dan cadangan.

“ Kita juga akan panggil saksi yang ada kepentingan dalam siasatan ini,” katanya secara ringkas kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Mengulas lanjut dalam perkembangan sama, beliau berkata setakat jam 12 tengahari tadi polis telah menerima sebanyak 50 laporan berkaitan isu Teresa Kok di seluruh negara.

Tambahnya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 298 dan 504(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Teresa hadir ke Bukit Aman sekitar jam 9.42 pagi ditemani peguamnya Syahredzan Johan yang juga Ahli Parlimen Bangi.

Pemimpin DAP itu selesai dirakam keterangan hampir sejam setengah oleh pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas(USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman hari ini.

Beliau kemudian dilihat beredar meninggalkan premis ibu pejabat PDRM jam 12 tengahari tadi.-MalaysiaGazette