Gambar media sosial Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan kumpulan muzik pop terkenal dari Amerika Syarikat, Maroon 5 akan mengadakan konsert di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil pada 12 Februari 2025.

Kuala Lumpur menjadi salah satu daripada siri jelajah Maroon 5 Asia 2025 selain daripada Filipina, Indonesia, Bangkok, Jepun dan Taiwan dari Januari hingga Februari tahun depan.

“Ini merupakan keputusan yang tepat apabila KBS (Kementerian Belia dan Sukan) membuka Stadium Nasional Hoki untuk konsert,” katanya sambil memuat naik hantaran mengenai Maroon 5 di Instagram Story akaun peribadinya.

Kenyataan dari Hannah itu seolah-olah memberi bayangan gelanggang Harimau Malaya tidak lagi menjadi ‘mangsa’ penganjuran konsert dan boleh memberi tumpuan sepenuhnya pada aksi skuad kebangsaan.

Semalam, pengendali Saba FC, Datuk Ong Kim Swee tampil menegur pihak pengurusan stadium mengenai keadaan padang di padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Ini kerana permukaannya dilihat menjejaskan permainan skuad kebangsaan pada kejohanan Pestabola Merdeka 2024 sehingga ada pemain Harimau Malaya yang pemain Sabah FC iaitu pertahanan tengah, Dominic Tan terpaksa menanggung akibatnya sehingga terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua dan digantikan dengan Feroz Baharudin.

Memetik ciapan di laman X, Kim Swee yang sebelum ini merupakan pengendali kebangsaan bukan hanya melahirkan kebimbangannya mengenai keselamatan pemain malah imej negara di mata dunia. – MalaysiaGazette