Zus Coffee

KUALA LUMPUR- Pengendali rangkaian kopi terbesar di Malaysia, Zus Coffee menerima pelaburan RM250 juta daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), KV Asia Capital dan syarikat Indonesia, Kapal Api Group.

Sementara itu, Ernst & Young Malaysia pula bertindak sebagai penasihat penggabungan dan pengambilalihan (M&A) bagi urus niaga yang membolehkan Zus Coffee melebarkan lagi sayap mereka di peringkat global.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ZUS Coffee, Ian Chua, kerjasama itu bukan saja akan mengembangkan perniagaan kopi terasnya tetapi juga menyokong langkah pengendali rangkaian kopi itu ke dalam bidang baharu seperti barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).

“Dengan pendekatan didorong teknologi perkongsian kami, Zus Coffee komited untuk menjadikan kopi istimewa boleh diakses, berpatutan dan menarik.

“Visi kami adalah untuk mewujudkan ZUS Coffee sebagai jenama Malaysia yang diiktiraf di peringkat global, berkongsi komitmen Malaysia terhadap kualiti dan komuniti kepada pencinta kopi di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

ZUS Coffee yang mengendalikan 600 kedai di peringkat serantau membuka kedai pertama di luar negara iaitu Filipina pada 2023.

Setakat ini, ia telah mempunyai 50 cawangan di Filipina dan bakal meneroka pasaran baharu di Singapura dan Brunei antara September dan akhir tahun ini.- MalaysiaGazette