Gambar hiasan

IPOH – Lelaki tempatan yang ditahan bagi membantu siasatan membuat hantaran berbaur fitnah di media sosial terhadap anggota polis yang terkorban dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor akan didakwa esok.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 25 tahun itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada keluarga arwah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar pada 29 Ogos lalu.

Suspek ditahan di sebuah rumah di Masai, Johor pada 5 September lalu dan ketika tangkapan dilakukan, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek.

“Suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 11 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azizi, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perak dan pihaknya menerima arahan untuk mendakwa suspek di mahkamah esok.

“Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tapah esok dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan perbuatan jenayah, termasuk penyebaran maklumat yang tidak sahih di media sosial,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here