Sebuah lori tangki membawa ‘liquid carbon dioxide’ terbabas dan melanggar tiang lampu di Lebuhraya Pasir Gudang, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Seorang pemandu berdepan detik cemas selepas lori tangki dipandunya yang membawa ‘liquid carbon dioxide’ terbabas dan melanggar tiang lampu di Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Bagaimanapun kemalangan pada awal pagi yang membawa gas berbahaya tersebut tidak menjejaskan persekitaran yang mana gas yang dibawa tidak mengalami kebocoran.

Kemalangan menghala ke Pasir Gudang itu membuatkan laluan tersebut ditutup, hanya laluan bersebelahan dari Pasir Gudang ke Taman Perling dibuka.

Video berkenaan kejadian yang berlaku depan flat Taman Seroja itu tular dalam medial sosial.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penguasa Bomba Kanan II Firdaus Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 3.55 pagi.

“Susulan itu seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Pemandu lori berkenaan tidak tersepit dan terselamat. Mangsa keluar sendiri daripada lori sebelum pihak bomba tiba.

“Pihak bomba kemudian melakukan pemeriksaan dan mengesahkan tidak berlaku sebarang kebocoran gas. Operasi tamat pukul 4.20 pagi,” katanya dalam kenyataan.- MalaysiaGazette