SUNGAI BULOH – Virus cacar monyet atau Mpox tidak akan mengulangi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berlaku ketika penularan Covid-19 lebih kurang empat tahun lalu. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memberi jaminan itu berkata, sehingga kini tiada lagi kes positif baharu daripada individu yang disyaki sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya seluruh rakyat Malaysia tidak memandang ringan situasi semasa, sebaliknya sentiasa berwaspada terhadap virus berkenaan.

“Saya sebagai menteri kerap diasak untuk meningkatkan prosedur operasi standard (SOP),  insya-Allah Mpox tidaklah akan mengulangi waktu yang sangat kita (elak) kehidupan terjejas seperti sebelum ini.

“Jangan risau tidak akan ada MCO (lockdown) (seperti) dalam era pandemik Covid-19 namun saya juga mahu ingatkan semua jangan pula terlalu selesa kita tahu transisi (jangkitan) virus ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ulang Tahun Ke-20 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.

Menurut Dzulkefly, sehingga kini KKM telah membuat saringan mpox terhadap lebih enam  juta pengembara yang masuk ke negara ini.

Katanya, sehingga kini kes Mpox masih kekal seperti yang direkodkan pada tahun lalu iaitu sebanyak sembilan kes.

“Ini melibatkan saringan pintu-pintu masuk antarabangsa laut, udara dan darat. Sehingga hari ini Alhamdulillah Allah izinkan kita tidak lagi mendapat satu kes positif daripada mereka yang kita syaki,” jelas beliau.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan itu berharap situasi Mpox di negara ini tidak dibandingkan dengan negara jiran, khususnya Singapura bagi mengelakkan suasana menggusarkan.

Sehingga semalam, sebanyak 5 kes Mpox dilaporkan menular di Singapura. – MalaysiaGazette