Hamdan (kiri) Tok Batin Kampun Sayong Pinang, Majid Jantan membetulkan khemah mangsa pencemaran bau di Balai Raya Kampung Orang Asli Kampung Sayong Pinang, Kota Tinggi semalam .

KOTA TINGGI – Seramai 38 penduduk Kampung Orang Asli Pasir Intan di sini yang dipindahkan ke Balai Raya Kampung Orang Asli Sayong Pinang selepas terjejas ekoran pencemaran bahan kimia sejak minggu lalu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Tok Batin Kampung Orang Asli Pasir Intan, Hamdan Yusoff berkata, semua mangsa terdiri daripada 11 buah keluarga di penempatan sementara itu sejak 5 September lalu pulang selepas keadaan bertambah pulih.

“Bau sudah semakin berkurangan dan Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah datang ke kampung ini bagi melakukan uji kaji terhadap tahap pencemaran bau di penempatan itu pagi tadi.

“Penduduk yang terkesan telah pun pulang ke ke rumah masing-masing. Pagi tadi juga pihak JAS telah datang untuk kenal pasti seberapa kuatnya bau toksik tersebut.

“Penduduk yakin udara tidak sihat yang mencemarkan sudah kurang, jadi semua sudah balik ke Kampung Orang Asli Pasir Intan pagi tadi,” katanya ketika dihubungi.

Hamdan bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dapat memastikan keadaan udara di kampung tersebut sudah boleh diisytiharkan selamat atau sebaliknya.

Pihaknya masih menunggu laporan JAS yang membuat kaji selidik tentang tahap pencemaran bau berkenaan.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan 38 penduduk Kampung Orang Asli Pasir Intan terpaksa dipindahkan atas inisiatif Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti selepas mengalami mual, cirit birit dan pening kepala ekoran pencemaran bau itu.

Mangsa terlibat dipindahkan di balai raya tersebut yang terletak tujuh kilometer dari kampung mereka selepas mengadu terkesan dengan  pencemaran itu sehingga tidak boleh tidur dan menjejaskan kesihatan mereka.

Pada awalnya, hanya enam penduduk yang terkesan dan dipindahkan ke balai raya sebelum jumlah bertambah kepada 38 orang termasuk bayi dan juga seorang ibu yang dalam pantang.

Penduduk memaklumkan bau dihidu seperti gas busuk dan sangat terkesan pada waktu malam serta selepas hujan sehingga penduduk terpaksa memakai pelitup hidung dan mulut di dalam rumah.

Difahamkan pencemaran itu terhasil kesan dari pembuangan bahan disyaki bahan kimia ke kawasan berhampiran Sungai Linggiu yang terletak kira-kira satu kilometer dari penempatan penduduk.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here