Asisten Komisioner Raub Selamat

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang pemandu lori dan kelidannya kerana disyaki terlibat kes pencemaran bahan kimia sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kedua-duanya yang merupakan warga tempatan berusia 23 dan 28 tahun ditahan pukul 11 malam tadi.

“Mereka ditahan di sebuah pangsapuri di daerah ini. Semakan rekod lampau mendapati kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya bebas pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kedua-duanya ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 September.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima hingga 30 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek tersebut sebelum ini ditahan kerana membuang bahan kimia di Sungai Linggiu berhampiran Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi pada 4 September lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut katanya, boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323.

Selasa lalu, beberapa kawasan di Bandaraya Johor Bahru dilanda pencemaran bau kimia yang menyebabkan penduduk khususnya di Kampung Melayu Pandan merasa loya dan pening.

Pencemaran tersebut turut dilaporkan berlaku di tiga taman perumahan di Johor Bahru iaitu Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa.

Pada Rabu, pencemaran bahan kimia dikesan di Kampung Orang Asli Pasir Intan manakala pada Jumaat pula dikesan di Kawasan Industri Desa Tropika, Johor Jaya.

Terbaharu pencemaran bahan kimia dikesan di Sungai Skudai, Skudai, di sini, semalam.- MalaysiaGazette