Presiden Makkal Sakti, Datuk RS Thanenthiran.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti ke-16 akan di adakan pada 28 dan 29 September ini dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka merasmikannya.

Menurut presidennya, Datuk Seri RS Thanenthiran, parti yang sudah berusia 16 tahun itu merupakan sebahagian daripada Friends of BN sejak ia ditubuhkan.

Menurutnya, setakat ini, keahlian parti itu sudah mencecah 114,000 orang di 10 buah negeri.

“Sukar untuk percaya Makkal Sakti sudah berusia 16 tahun sejak 2008 lagi. Banyak jasa bekas Perdana Menteri dan mantan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak kepada kami sehingga ke tahap ini. Konvensyen kali ini juga penting bagi kami berbicara pelbagai perkara terutama isu-isu berkaitan komuniti India.

“Konvensyen dua hari ini bermula pada 28 September dengan persidangan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri manakala AGM utama pula pada hari berikutnya bertempat di Hotel Seri Pacific di sini. Kita jangka seramai 2,000 perwakilan dan pemerhati akan hadir pada hari itu,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Sambung Thanenthiran, ramai jemputan dalam kalangan komponen BN dan Friends of BN juga dijangka hadir pada AGM kali ini.

“Selain daripada kehadiran Ahmad Zahid untuk merasmikan AGM kita kali ini, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran juga akan hadir buat pertama kali dan ini adalah sejarah buat kami.

“Kami difahamkan Pengerusi BN menyokong Makkal Sakti untuk menjadi komponen BN dan ia juga mendapatkan sokongan Vigneswaran.

“Keadaan kini sudah berubah, dulu MIC membantah hari ini merasakan kami juga layak mendapat pengiktirafan dan diberikan peluang sama rata,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here