Mohamad Abdul Hamid

GEORGE TOWN – Pensijilan Halal Malaysia terus mengukuhkan nama negara di peringkat antarabangsa dengan penekanan pada integriti melalui Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), yang mematuhi standard Akta Standard Malaysia dan ISO.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pensijilan Halal Malaysia yang tersedia untuk sembilan kategori termasuk makanan, kosmetik dan perkhidmatan logistik, tidak hanya memenuhi keperluan syariah tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai kualiti produk dalam kalangan pengguna bukan Islam.

Data terkini menunjukkan bahawa 76 peratus daripada pemegang SPHM di Pulau Pinang antara Januari hingga Jun 2024 adalah syarikat bukan muslim.

“Statistik ini menunjukkan kepercayaan meluas terhadap pensijilan halal Malaysia yang kini diproses lebih cepat dari 90 hari kepada 30 hari di Pulau Pinang sejak November tahun lalu.

“Selain itu, Malaysia berada di tempat pertama dalam sektor makanan halal menurut laporan State of Global Islamic Economy (SGIE) 2023, industri halal dijangka berkembang kepada AS$113.2 bilion menjelang 2030 sekali gus akan menyumbang 8.1 peratus kepada KDNK menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Hamid menyeru masyarakat untuk terus menyokong usaha JAKIM dalam memajukan pensijilan halal, memastikan SPHM terus menjadi simbol kebanggaan negara. – MalaysiaGazette