GAZA- Sekurang-kurangnya 40 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan tentera Israel ke kem Al-Mawasi di Khan Younis, awal pagi Selasa.
Pegawai pertahanan awam Gaza memberitahu media, 60 orang disahkan cedera dan telah dipindahkan ke hospital tempatan.
Menurut penduduk dan petugas perubatan, khemah-khemah yang didirikan di atas zon kemanusian Khan Younis itu diserang oleh sekurang-kurangnya empat peluru berpandu milik Israel.
Perkhidmatan kecemasan awam Gaza berkata, sekurang-kurangnya 20 khemah terbakar disebabkan serangan tersebut.
Tambahnya, bedilan peluru berpandu itu juga menyebabkan beberapa kawah sedalam sembilan meter, terbentuk.
Kem Al-Mawasi yang terletak berhampiran British Hospital, dipenuhi oleh rakyat Palestin yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing sejak perang bermula Oktober tahun lepas.
Dalam pada itu, Israel mendakwa, serangan pada Subuh itu adalah bagi memusnahkan pusat gerakan Hamas.-Agensi