KUALA LUMPUR – Masih ramai lagi anak kelahiran Sabah yang jauh lebih cemerlang dan layak diberikan biasiswa untuk melanjutkan pengajian berbanding anak kepada Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Azis sepatutnya berasa malu dengan perbuatannya itu, apatah lagi memohon kelulusan biasiswa itu daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor secara bersemuka.
“Sebenarnya lebih ramai anak Sabah di luar sana mempunyai keputusan peperiksaan akademik cemerlang, malahan ibu bapa mereka pula tidak mempunyai pekerjaan dan miskin yang sepatutnya diberikan peluang untuk mendapatkan biasiswa.
“Apakah merit atau asas sehingga biasiswa anak Azis diluluskan? Azis dan isterinya mempunyai kemampuan dari segi kewangan.
“Saya turut senada dengan rakyat Sabah dan merasakan tindakan Azis adalah perbuatan salah,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Hajiji sebagai berkata, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus bersikap adil terhadap semua pihak termasuk pembangkang meskipun tidak sehaluan dalam politik.
Hajiji berkata, walaupun pelbagai kritikan dan fitnah dilemparkan terhadap dirinya dan kerajaan pimpinannya, soal keadilan tetap menjadi pegangan beliau.
Malah, kata Hajiji, beliau sendiri meluluskan permohonan pemimpin pembangkang yang memohon biasiswa daripada kerajaan negeri untuk anak mereka atas dasar keprihatinan beliau terhadap anak-anak Sabah.
Zulkarnain juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan Azis yang berterusan menyerang Kerajaan Negeri Sabah kononnya bertindak tidak adil kepada rakyat Sabah sedangkan beliau memohon bantuan pendidikan untuk anaknya.
“Adakah Azis tidak mempunyai sifat malu hampir setiap hari menyerang Hajiji, dalam masa sama bertemu Hajiji bagi memohon kelulusan biasiswa bagi pihak anaknya dan kemudiannya diluluskan.
“Ini sebenarnya jelas satu tindakan kurang cerdik dan hipokrit oleh Azis,” katanya.
Zulkarnain berkata, tindakan Kerajaan Negeri Sabah yang meluluskan biasiswa kepada anak Aziz merupakan satu kesilapan besar dan tidak sewajarnya diulangi.
“Hajiji mengakui Azis bersama isteri beliau telah berjumpa dengannya bagi memohon kelulusan biasiswa bagi pihak anaknya yang kemudiannya diluluskan oleh Hajiji.
“Pendedahan ini sebenarnya amat mengejutkan malahan majoriti rakyat Sabah turut marah sambil mempertikaikan keputusan Kerajaan Negeri Sabah yang meluluskan permohonan biasiswa anak Azis.
“Tambahan pula isteri Azis juga adalah seorang pegawai kerajaan di salah sebuah agensi kerajaan negeri Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah untuk membuka mata seluas-luasnya sambil melihat ciri-ciri pemimpin yang ada di dalam Warisan.
“Sudah sepatutnya Warisan ditolak pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah yang akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette