MELAKA – Seorang pengarah dan pengurus besar sebuah syarikat konsesi pengiklanan direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Penahanan itu bagi membantu siasatan berkaitan mengemukakan laporan palsu kerja pemasangan papan iklan di seluruh Melaka membabitkan tuntutan bernilai jutaan ringgit kepada sebuah agensi milik kerajaan negeri sejak tiga tahun lalu.
Perintah reman terhadap dua suspek lelaki berusia 46 dan 48 tahun itu sehingga 14 September ini dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.05 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kesemua suspek ditahan jam 3 petang semalam selepas hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan laporan palsu kerja-kerja pemasangan iklan di seluruh negeri ini membabitkan tuntutan bayaran berjumlah jutaan ringgit sejak 2021.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Menurutnya, sabit kesalahan suspek boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Sebelum ini, media melaporkan, dua papan iklan di Bachang dan Banda Hilir di sini yang tumbang dalam kejadian ribut pada Julai lalu tidak mempunyai lesen yang sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dipercayai tidak mengikut prosedur ditetapkan. – MalaysiaGazette