KUALA LUMPUR- Seorang pemilik syarikat warga Bangladesh direman seminggu kerana disyaki merasuah penguat kuasa bagi membawa masuk kumpulan warga asing melalui kaunter khas (counter setting) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut sumber, perintah reman sehingga 16 September itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 40-an itu telah ditahan sekitar Kuala Lumpur menerusi Op Pump kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.
“Suspek dan beberapa ejen sindiket berkenaan dipercayai telah membayar sejumlah wang rasuah kepada beberapa pegawai di sebuah agensi penguat kuasa antara RM200 hingga RM25,000 sebagai balasan untuk memudahkan kumpulan warga asing melepasi pintu masuk udara negara tanpa melalui pemeriksaan yang sepatutnya.
“Wang rasuah berkenaan sebagai balasan bagi melindungi, memudahkan urusan dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas warga asing yang tidak memenuhi syarat serta tidak mengikut prosedur yang sah di bawah Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155),” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette