Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen PKR mempersoalkan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Moktar berhubung isu sijil halal yang tercetus baru-baru ini.

Hassan Abdul Karim yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang secara terbuka mengkritik Mohd Na’im yang mengumumkan satu dasar kerajaan yang masih belum mendapat kelulusan Kabinet.

“Tujuan cadangan JAKIM seperti yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama adalah baik.

“Tetapi cara pengumuman yang mengejut dan terburu-buru itu adalah salah dan tidak profesional bagi seorang Menteri Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Hasaan berkata, Mohd Na’im sepatutnya mengarahkan satu kajian lengkap tentang cadangan mengenakan dasar pensijilan halal yang mandatori dalam kalangan syarikat restoran bukan Islam dilakukan.

Katanya, kertas kerja itu sepatutnya dikemukakan dahulu ke mesyuarat Kabinet bagi pengetahuan kerajaan.

“Biar semua menteri dalam Kabinet yang Islam dan bukan Islam berbincang dengan akal yang sihat, rasional serta tidak ikut sentimen. Tidakkah kerajaan Persekutuan sekarang kerajaan Perpaduan di mana menteri-menteri di dalam Kabinet itu yang Islam ramai dan yang bukan Islam juga ramai. Jadi berbincanglah dengan mendalam.

“Jika secara prinsipnya Kabinet bersetuju dengan cadangan yang dibawa oleh Menteri Hal Ehwal Agama, kemudian libatkanlah Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hl Ehwal Undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Hassan berkata, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok hanya memberikan kenyataan mengulas pengumuman Mohd Na’im yang dibuat secara terbuka.

“Teresa hanya memberikan satu reaksi terhadap satu dasar kerajaan yang masih baru dibincang di peringkat Jabatan Jakim.

“Kajian menyeluruh pun belum dibuat secara tuntas. Masih belum di bawa ke perbincangan Kabinet,” ujarnya.

Teresa hari ini dipanggil Bukit Aman untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya mengenai isu sijil halal yang didakwa membebankan peniaga.

Beliau yang diiringi peguam, Syahredzan Johan tiba di pekarangan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 9.42 pagi.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Teresa akan dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya yang mendakwa sijil halal akan menambah beban peniaga dan memalukan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast