Jawahar Ali Taib Khan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) mencadangkan agar sesi libat urus bersama peniaga kecil bumiputera perlu diadakan terlebih dahulu berhubung pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi peniaga dari sudut kewangan susulan kos yang tinggi bagi proses permohonan dan pematuhan pensijilan halal serta aliran proses yang melalui syarat ketat.

“Sebagai peniaga kecil, semestinya golongan ini mempunyai sumber yang terhad untuk mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi mendapatkan kelulusan pensijilan.

“Saya amat yakin tiada pengusaha restoran yang menyediakan makanan halal dengan sengaja tidak mahu melakukan permohonan pensijilan halal kerana pengesahan status halal oleh JAKIM pastinya memberikan keyakinan kepada seluruh pelanggan mereka malah reputasi agensi ini turut mendapat kepercayaan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenytaan har ini.

Jelasnya lagi, dengan mengambil kira kedudukan persatuan sebagai pemain industri, pihaknya menyambut baik cadangan JAKIM untuk mewajibkan sijil halal kepada semua restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol.

“Namun apa yang lebih penting adalah ia memerlukan kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh. Kesedaran dan galakan kepada pemegang taruh perlu menjadi keutamaan berbanding meletakkan kewajipan mandatori yang dikhuatiri menjadi permasalahan kepada pengusaha restoran yang tidak mempunyai modal yang besar.

“Umum mengetahui, hampir keseluruhan restoran peniaga Melayu di Malaysia menyajikan makanan halal tetapi majoriti daripada mereka belum memiliki sijil halal” ujarnya.

Beliau memaklumkan, sebarang usaha dan cadangan perlu memberikan kesedaran kepada pengguna tentang makanan halal dan berkualiti wajib didukungan penuh demi kebaikan seluruh masyarakat Islam serta rakyat Malaysia amnya.

“Sehubungan itu, pertimbangan melaksanakan sesuatu dasar yang inklusif perlulah mengambil kira persediaan ekosistem yang tidak membebankan para peniaga yang mengendalikan perniagaan dalam skala yang kecil agar tiada yang terpinggir dalam rangka kerajaan memartabatkan industri halal di Malaysia

“PRESMA berharap tiada pihak yang cuba untuk menangguk di air yang keruh dengan mengambil kesempatan mempolitikkan isu ini untuk melaga-lagakan rakyat melalui permainan sentimen bangsa dan agama.

“Perbincangan mendalam mengenai isu ini boleh kita lakukan dengan berlapang dada menerima pelbagai perspektif tanpa sebarang bentuk provokasi melampau,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here