Ahmad (tengah) bersama Nurhazimah dalam program Walkabout dan Penyerahan RMR di Kampung Tengah, Klulag, hari ini.

KLUANG – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyediakan 68,803 Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara sejak 22 tahun lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 66,830 buah rumah berjaya disiapkan sehingga 31 Ogos lalu.

“Bakinya sebanyak 1,973 rumah lagi kini dalam proses untuk disiapkan.

“Selain itu sebanyak 8,013 RMR dilaksanakan di Johor dengan 7,865 berjaya disiapkan dalam tempoh yang sama,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas program Walkabout dan Penyerahan RMR di Kampung Tengah di sini hari ini.

Katanya, bagi kawasan Parlimen Kluang pula pihak SPNB berjaya melaksanakan 57 unit dan perlaksanaan RMR itu selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12.

“Dengan pembinaan rumah berkenaan oleh SPNB ini, ia telah berjaya membantu golongan sasar yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk dibina rumah yang sempurna dan selesa,” katanya.

Menurut beliau, RMR yang diserahkan hari ini adalah berkeluasan 750 kaki persegi dengan kos keseluruhannya adalah RM75,000 dengan kerajaan memberikan subsidi RM20,000.

Ujarnya, penerima RMR itu hanya perlu membayar RM55,000 atau dengan bayaran RM300 sebulan tanpa faedah selama sekitar 16 tahun.

“Rumah yang dibina ini menepati ciri-ciri Islamik dengan pintu dibuka tidak menghadap ruang tamu dan kedudukan tandas tidak menghadap arah kiblat,” katanya.

Sementara itu, penerima RMR, Nurhazimah Mohd Hamizan, 28, bersyukur kediaman miliknya sendiri siap dibina dan akan berpindah dalam masa terdekat.

“Sebelum ini saya bersama-sama keluarga hanya menyewa rumah dengan bayaran RM400 sebulan,” katanya.- MalaysiaGazette