Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya menahan reman dua individu termasuk seorang pegawai kanan bergelar Datuk kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan berjumlah kira-kira RM400,000.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya menahan reman dua individu termasuk seorang pegawai kanan bergelar Datuk kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan berjumlah kira-kira RM400,000.

Perintah reman selama empat hari sehingga 13 September ini terhadap suspek lelaki yang bergelar Datuk berusia dalam lingkungan 50-an manakala seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 30-an di tahan reman selama dua hari sehingga 11 September ini telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga merupakan penjawat awam turut ditahan tetapi dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek di mana salah seorang merupakan pegawai kanan kementerian bergelar Datuk yang ditahan lewat malam semalam ialah setiausaha bahagian yang bertanggungjawab mengawal selia salah sebuah agensi badan berkanun kerajaan.

Manakala dua yang lain merupakan pegawai khas dan pemandu beliau dan kesemuanya telah ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.

“Suspek utama dipercayai melakukan perbuatan tersebut baru-baru ini dengan mengemukakan kertas cadangan program tersebut untuk kelulusan peruntukan dan kemudiannya disalurkan kepada sebuah agensi kerajaan berkaitan.

“Suspek turut disyaki berpakat dengan orang dalam agensi kerajaan tersebut dan mengeluarkan wang peruntukan tersebut secara tunai yang bernilai ratusan ribu ringgit dan kemudiannya digunakan untuk keperluan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here