Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hadir ke balai untuk dirakamkan keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya berkait isu sijil halal di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Teresa Kok akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berhubung kenyatannya yang mahu menampal logo tidak halal pada dahi Ahli Parlimen Seputeh itu.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, beliau akan memikirkan tindakan tersebut selepas mengadakan perbincangan dengan peguamnya selepas ini.

Katanya, ketika ini beliau sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada barisan peguamnya berhubung perkara tersebut.

“Saya sekarang sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam dan saya akan bincang dengan peguam saya (sekali lagi) selepas sesi ini,” katanya.

Naib Pengerusi DAP itu berkata demikian kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan di di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) berhubung kenyataannya berhubung persijilan halal, di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, menerusi satu hantaran video di Tik Tok, Muhammad Akmal yang melabelkan Teresa sebagai ‘nyonya tua’ berkata, Teresa tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.

Beliau turut meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk ditampal di dahi pemimpin itu.

Pada 5 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Sebelum ini Teresa dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Menurutnya, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here