SUNGAI BULOH – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan bertoleransi dengan beberapa doktor yang terlibat dalam dakwaan pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau menyerahkan siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum tindakan selanjutnya.

“Kes itu sudah menjadi siasatan SPRM maka ia merupakan satu bidang kuasa yang bukan lagi dalam KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“Apa pun saya nak mengingatkan semua warga besar KKM bahawa saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak akan bertoleransi dengan perkara melibatkan penyalahgunaan kuasa sama ada apa pun sifatnya, apa juga kedudukan dan jawatan mereka,” katanya ketika sidang media pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Institut Latihan KKM Sungai Buloh, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, tiga individu iaitu dua doktor ortopedik dan seorang ejen direman bagi membantu siasatan kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Perkeso.

Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai aduan kes buli membabitkan beberapa doktor di sebuah hospital kerajaan di Sabah, Dzulkefly berkata, siasatan terperinci masih berjalan.

Ujarnya, sebarang keputusan akan diumum dalam waktu terdekat iaitu selepas mesyuarat Kabinet.

“Kita akan teruskan siasatan yang lebih terperinci, sama ada kita akan wujudkan badan bebas apa pun itu kami akan buat keputusan dalam waktu segera dalam pasca mesyuarat Kabinet minggu depan,” katanya.

Baru-baru ini, gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menuntut tindakan tegas dan segera diambil KKM sekiranya dakwaan buli dibuktikan berlaku.

Ia susulan laporan yang mendedahkan beberapa doktor menjadi mangsa buli secara lisan dan fizikal di sebuah hospital apabila dihambur kata-kata kesat, lucah serta penghinaan kaum, selain pernah diancam senjata tajam jika tidak mematuhi arahan ketua unit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast