Seorang warga emas maut selepas treler dipandunya bertembung dengan sebuah van sebelum terbalik di Kilometer 30 Jalan Yong Peng-Kluang, Kluang, hari ini.

KLUANG – Seorang warga emas maut tersepit selepas treler muatan baja dipandunya bertembung dengan sebuah van sebelum terbalik di Kilometer 30 Jalan Yong Peng-Kluang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada pukul 3.50 pagi itu melibatkan treler jenis Shacman dan van jenis Perodua Rusa.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati treler dari arah Yong Peng menghala ke Paloh manakala van pula dari arah Paloh ke Yong Peng.

“Sampai di tempat kejadian, treler telah hilang kawalan semasa melalui selekoh lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan van,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, akibat kemalangan itu, pemandu treler, Mohd Hanapiah Abdul Malek, 61, yang beralamat di Bandar Jengka, Pahang, tersepit di tempat duduk pemandu.

Beliau berkata, mangsa cedera parah di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu van tersebut pula ujarnya, iaitu penjual sayur, Tay Ah Teck, 64, yang beralamat di Paloh, luka ringan pada bahagian kaki kanan.

Menurut Bahrin, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Shamsul Amri Shahab berkata, seramai lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Shamsul memberitahu, mereka turut dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di Lokasi,” katanya.

Tambah beliau, operasi tamat pada pukul 5.16 pagi. – MalaysiaGazette