Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lebih RM6.3 juta kutipan kompaun berjaya dikutip Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menerusi pelbagai operasi yang dijalankan di sekitar ibu negara sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, ia juga merupakan hasil tangkapan ke atas 2,066 individu termasuk majikan yang menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Antara operasi dijalankan adalah Op Pemantauan (Omnipresence), Op Sapu, Op Belanja, Op Jaja, Op Selera, Op Gegar, Op Dandan, Op Minyak, Op Serkap, Op Bersepadu, Op Kutip dan Op Mahir.

Sebanyak 1,074 operasi tanpa kompromi turut dilakukan membabitkan pelbagai jenis premis dalam menangani isu PATI, kesalahan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Akta Pasport 1966 (Akta 150).

“Seramai 6,033 orang telah diperiksa dan menghasilkan tangkapan operasi berjumlah 2,066 orang dan dari jumlah tangkapan itu, 109 orang, adalah majikan dan individu yang menggajikan atau melindungi PATI.

“Manakala baki 1,952 orang adalah PATI yang disyaki telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen bagi tujuan siasatan dan pendakwaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Wan Mohammed Saupee, warga Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi ditahan dengan 466 PATI diikuti warga Indonesia (370 PATI), Myanmar (326 PATI), Pakistan (178 PATI), India (163 PATI), China (159 PATI) dan lain-lain warganegara.

“Sebanyak 422 fail siasatan telah dibuka bagi tujuan tindakan kompaun dan pendakwaan. Seramai 835 warga asing telah didakwa melakukan pelbagai kesalahan imigresen antaranya kesalahan tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Malaysia, tiada pas atau permit yang sah tinggal di Malaysia dan kesalahan melanggar syarat pas atau permit,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohammed Saupee berkata, seramai 109 majikan dikenakan tindakan disyaki melindungi, menggajikan, atau membenarkan PATI dalam premis boleh disabitkan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B, Seksyen 56 (1)(D) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

“Melalui gerakan operasi yang berterusan, JIMKL mengeluarkan kompaun pelbagai kesalahan imigresen dan menghasilkan kutipan berjumlah RM6,365,763.

“Dalam pada itu, seramai 1,761 PATI melibatkan 30 negara telah diusir dan disenarai hitam daripada masuk ke dalam negara selepas didapati melanggari undang-undang setakat Ogos lalu,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan kepada pemilik premis dan majikan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan petualang negara yang didapati melindungi PATI.

Wan Mohammed Saupee berkata, tindakan tegas akan dikenakan sekiranya didapati telah berlaku perlanggaran undang-undang negara yang boleh mengganggu keselamatan negara dan ketenteraman awam.- MalaysiaGazette