KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 26 warga asing dalam satu operasi khas yang dijalankan di sekitar Pulau Perhentian Terengganu, kelmarin.
Daripada jumlah itu, 13 lelaki merupakan warga Bangladesh, (6) lelaki warga Myanmar, (2) lelaki warga Pakistan, (1) lelaki warga Nepal, (3) perempuan warga Thailand dan seorang lagi wanita warganegara Indonesia.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang bermula pukul 5 petang dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama JIM Terengganu dan dibantu oleh Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu.
Katanya, kesemua warga asing yang berusia 22 hingga 50 tahun itu dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan dan bekerja di lokasi pemeriksaan sejak awal 2024.
“Semakan awal mendapati tiga lelaki warganegara Bangladesh, dua lelaki warganegara Pakistan dan tiga perempuan warganegara Thailand memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah laku.
“Manakala, warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ruslin, pasukan operasi menghadapi kesukaran dalam operasi berkenaan disebabkan lokasi di persisiran pantai dan permukaan yang berbukit-bukau.
Malah katanya, terdapat juga cubaan melarikan diri oleh warga asing terbabjut yang menyedari kehadiran pasukan operasi namun, kecekapan anggota berjaya mematahkan cubaan mereka itu.
Tambah beliau, kebanyakan warga asing yang ditahan menjalankan aktiviti perniagaan di mana, warga Bangladesh menawarkan perkhidmatan ‘water taxi’ sementara, warganegara Thailand menawarkan perkhidmatan ‘spa’.
Warga Nepal pula katanya, bekerja sebagai pengawal keselamatan dan di resort peranginan.
“Kesemua suspek dipercayai telah menjalankan perniagaan dan bekerja selama sembilan bulan,” ujarnya.
Katanya lagi, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Ajil kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3) Akta Imigresen 59/63 dan Per.39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Manakala, dua lelaki warganegara tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke JIM Terengganu bagi membantu siasatan.
“JIM Terengganu akan mengesan majikan yang menggajikan atau menggunakan pekerja warganegara asing tanpa dokumen atau pas yang sah.
“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” ,” tegasnya. – MalaysiaGazette