PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta dihadapinya.
Ini bermakna, empat pertuduhan dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional itu akan dikembalikan semula ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Keputusan sebulat suara itu dibuat lima panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, pagi ini.
Ketika prosiding hari ini, Azizah berkata, panel terdahulu di Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.
“Dengan ini, mahkamah sebulat suara menolak permohonan semakan ini,” katanya.
Pada 15 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui hakimnya, Datuk Muhammad Jamil Hussin telah membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi parti BERSATU.
Namun, Februari tahun ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwaan sekaligus telah mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen bagi prosiding seterusnya.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik selaku pemohon sementara pendakwaan sebagai responden oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Muhyiddin dalam permohonan notis semakannya mendakwa, keputusan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah terbatal kerana ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri didakwa telah menggunakan kedudukan itu bagi mendapatkan suapan itu Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021. -MalaysiaGazette