JAKARTA- Presiden Joko Widodo melantik Saifullah Yusuf sebagai Menteri Sosial yang baharu menggantikan Tri Rismaharini yang meletakkan jawatan kerana mahu bertanding pada pilihan raya tempatan 2024.
Majlis mengangkat sumpah berlangsung di Istana Negara, Jakarta jam 9 pagi tadi.
Saifullah akan menjalankan tugas baharunya hanya untuk tempoh lebih sebulan kerana Prabowo Subianto akan memulakan tugas sebagai Presiden pada 20 Oktober ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Gus Ipul sebelum ini adalah Datuk Bandar Pasuruan di Jawa Timur dari 2021 sehinggalah dilantik sebagai menteri Kabinet.
Terdahulu, beliau merupakan Timbalan Gabenor Jawa Timur dari 2009 hingga 2019.
Selain Saifullah, Presiden Jokowi turut melantik Ketua Polis, Eddy Hartono sebagai Ketua Agensi Anti Keganasan Kebangsaan (BNPT) dan Aida Suwandi Budiman sebagai Ketua Pesuruhjaya Perbadanan Insurans Deposit Indonesia.- Agensi