Penyanyi, Datuk Nora Ariffin bercakap ketika ditemubual pada majlis sidang media mengenai Konsert Hanya Satu di BsyncLive, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Nora menyifatkan penceraiannya yang diumumkan pada bulan lalu adalah sesuatu yang tidak pernah terfikir akan berlaku dalam hidupnya.

Wanita berusia 51 tahun itu berkata, insiden itu amat mengejut kerana ia berlaku terlalu pantas di hadapan dirinya selepas menunaikan solat Subuh.

Katanya, sebaik bekas suaminya menerima panggilan telefon daripada seseorang dan selepas itu cerai dilafaz tanpa diduga kerana mereka tidak pernah bergaduh sepanjang rumah tangga.

Namun dia menolak dakwaaan Dr. Rushdi Ramli terpaksa melafazkan cerai itu kerana menerima ugutan bersenjata.

“Tidak adalah sampai begitu sekali dan saya pun tidak sangka netizen buat spekulasi sampai tahap itu. Yang sebetulnya, bekas suami memang berada depan saya sewaktu melafazkan cerai

“Cuma disebabkan terlalu emosi, saya terus merakam perceraian dan memuat naik di media sosial tanpa berfikir panjang,” luahnya kesal.

Reaksi Nora ketika ditemubual pada majlis sidang media mengenai Konsert Hanya Satu di BsyncLive, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2024

Nora berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey di sini hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, Nora menggemparkan dunia hiburan tanah air selepas rakaman suaminya melafazkan cerai tular di media sosial.

Rakaman tersebut dimuat naik penyanyi itu sendiri di Instagram miliknya.

Mengulas lanjut, Nora mengakui kesilapan memuatnaik rakaman video itu namun apa yang dilakukannya bersebab dan terlalu beremosi.

Katanya, dalam keadaan terkejut, dia hanya mahu memberitahu kepada umum bahawa dia telah bercerai.

Namun Nora menjelaskan, dia telah memohon maaf kepada Rushdi atas tindakannya itu dan mereka kini kekal berkawan baik.

“Sebagai manusia, saya tidak mampu mengawal emosi dan berfikir secara rasional kerana waktu itu apa yang berlaku mengejutkan dan menyebabkan trauma kepada diri saya.

“Sebenarnya tujuan saya kongsikan video itu hanya untuk menjelaskan status terkini namun saya sudah memohon maaf kepada bekas suami dan dia juga sudah memaafkan saya kerana tahu keadaan saya ketika itu dan sekarang ini hubungan kami kekal baik,” katanya.

Penyanyi, Datuk Nora Ariffin bergambar pada majlis sidang media mengenai Konsert Hanya Satu di BsyncLive, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2024

Nora memberitahu, rakaman video itu berlaku lebih awal dan bukannya lafaz cerai dibuat pada 12 Ogos lalu namun dia enggan mengulas lanjut.

Pasangan itu bergelar suami isteri pada 2021, yang mana Rushdi adalah sahabat baik suami Nora iaitu Allahyarham Johan Nawawi.

Johan yang juga komposer terkenal meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here