Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan tetap tidak akan meneruskan inisiatif mewajibkan semua penyedia perkhidmatan Internet (ISP) di Malaysia melakukan penghalaan semula Sistem Nama Domain (DNS).

Bagaimanapun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneruskan sesi libat urus dengan semua penyedia perkhidmatan bagi mencari kaedah terbaik menangani isu keselamatan dalam talian, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

“Yang penting waktu ini, saya tegaskan keutamaan (kerajaan) adalah untuk memastikan internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.

“Kita mengambil kira jenayah yang semakin berhijrah ke dunia siber bukan hanya dalam media sosial tetapi juga dalam apa kita kenali sebagai world wide web (WWW),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC Datuk Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen dipetik berkata, arahan terhadap penyedia perkhidmatan Internet (ISP) untuk mengalihkan trafik perkhidmatan DNS yang menggunakan pelayan pihak ketiga kembali ke pelayan DNS mereka sendiri tidak akan menjejaskan pengguna daripada melayari laman web yang sah.

Katanya, laman web yang terkesan dengan tindakan itu ialah laman web yang menyalahi undang-undang Malaysia dan akan menyebabkan sekatan dikenakan supaya tidak dapat diakses rakyat.

Bagaimanapun, pandangan yang agak berbeza daripada beberapa pihak khususnya pemain industri teknologi maklumat serta golongan perniagaan yang beranggapan langkah tersebut berpotensi untuk mewujudkan penguatkuasaan berat sebelah termasuk menghalang akses maklumat yang berlawanan dengan visi dan misi kerajaan.

Dalam perkembangan sama, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan akan meneliti pelbagai usaha yang diambil negara lain bagi menangani isu keselamatan dalam talian khususnya membabitkan media sosial.

Langkah itu, kata beliau, termasuk berkaitan isu penetapan had usia untuk memiliki akaun media sosial seperti yang akan dilaksanakan di Australia.

“Waktu ini kita juga akan meneliti usaha di negara lain bukan hanya di Australia dalam mengatasi masalah apa yang mereka lihat sedang berlaku dalam media sosial tetapi dalam konteks negara masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here