Petugas Indah Water Konsortium bersama Anggota Jabatan Bomba dan Anggota Polis (PDRM) menjalankan tugas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 OGOS 2024

KUALA LUMPUR- Kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, 23 Ogos lalu adalah bersifat setempat.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, maklumat geologi dan rekod penyiasatan tanah sedia ada mendapati lokasi tanah jerlus yang terletak atas formasi Kenny Hills dan secara amnya terdiri daripada selang lapis batuan schist, phyllite dan quartzite.

“Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Taskforce Insiden Tanah Jerlus Masjid India yang diadakan pada 10 September 2024 mendapati bahawa bangunan dan kawasan Jalan Masjid India adalah selamat untuk dikunjungi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pihak DBKL kini sedang mengecilkan kawasan hoarding di tapak kejadian dengan membahagikan kepada tiga bahagian iaitu:-

1. Dari susur masuk tempat letak kereta bawah tanah Wisma Yakin sehingga simpang Jalan Masjid India/Lorong Bunus 1,

2. Di kawasan mendapan kedua iaitu di hadapan Pondok Polis Masjid India dan

3. Sebahagian Lorong Tuanku Abdul Rahman.

Sebelum ini kawasan hoarding tersebut adalah sepanjang 160 meter bermula dari Wisma Yakin sehingga Pondok Polis Jalan Masjid India.

Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut dibuat hasil Mesyuarat Petugas Khas Insiden Tanah Jerlus Masjid India yang dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Mohamad Hamim, semalam.

Mesyuarat turut dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan Pertubuhan Geoteknikal Malaysia (MGS).- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here