PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini sebentar lagi akan membuat keputusan terhadap permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menyemak keputusan mengembalikan empat tuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta dihadapinya.
Difahamkan seramai lima panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli akan membuat keputusan pagi ini.
Untuk makluman, pada 15 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui hakimnya, Datuk Muhammad Jamil Hussin telah membebaskan bekas Perdana Menteri itu daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi parti BERSATU.
Namun, Februari tahun ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwaan sekaligus telah mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen bagi prosiding seterusnya.
Muhyiddin dalam permohonan notis semakannya mendakwa, keputusan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah terbatal kerana ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Prosiding dijangka bermula pada bila-bila dari sekarang.
Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri didakwa telah menggunakan kedudukan itu bagi mendapatkan suapan itu Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021. -MalaysiaGazette