Presiden MATFA, Tan Sri Richard CK Koh.

KUALA LUMPUR – Persatuan Taman Tema & Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA) menyokong seruan Sultan Pahang mahu lebih banyak pembangunan pelancongan sekaligus menarik pelaburan ke dalam negara.

Presiden MATFA, Tan Sri Richard CK Koh berkata,  sudah tiba masa kajian memansuhkan Akta Cukai Hiburan 1953 yang sudah lapuk dibuat,

Akta berkenaan dilihat banyak memberikan tekanan kewangan tidak adil dalam sektor dalam industri, katanya.

Menurut Richard, kerajaan perlu segera mereformasi sistem cukai bagi memacu pertumbuhan pelancongan dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.

“Akta Cukai Hiburan 1953 ini sebenarnya direka era zaman penjajah bagi menampung cukai mudarat dengan tujuan menghalang elemen-elemen tidak diingini. Ini juga sebab mengapa kadar cukai ini tinggi sehingga 25 peratus atas aktiviti hiburan.

“Malangnya kini cukai lapuk ini juga dikenakan ke atas tarikan mesra keluarga seperti taman tema, taman air dan destinasi pelancongan mesra keluarga yang sebenarnya banyak menggunakan pelaburan modal yang besar dan tidak sepatutnya termasuk dalam kategori cukai mudarat.

“Sektor hiburan keluarga di Malaysia merupakan penyumbang penting kepada industri pelancongan negara yang pada tahun 2019 menjana pendapatan sebanyak RM86.1 bilion mewakili lebih 15.9 peratus daripada KDNK negara,” katanya dalam kenyataan.

Kata Richard, industri taman tema sahaja berjaya menarik lapan juta pelawat pada tahun 2019 dengan pelaburan besar dalam tarikan utama seperti Genting SkyWorlds, Sunway Lagoon dan Legoland Malaysia.

Hakikatnya pelaburan seumpama itu banyak mewujudkan peluang pekerjaan signifikan dan merancakkan ekonomi tempatan.

“Tapi sangat membimbangkan apabila kadar cukai tinggi ini membantutkan pelaburan dan perkembangan lebih besar dalam sektor ini. Saya beri contoh, taman tema negara jiran seperti Singapura dan Thailand mendapat manfaat besar kerana struktur cukai lebih menggalakkan hingga menarik jutaan pelawat antarabangsa setiap tahun.

“Pulau Sentosa di Singapura menarik 19 juta pelawat pada tahun 2019, jauh lebih tinggi daripada kehadiran keseluruhan taman tema di Malaysia. Negara-negara ini menikmati sektor pelancongan yang menyumbang besar kepada KDNK mereka, sekali gus menunjukkan manfaat dasar cukai yang lebih moden.

“Jika Malaysia tidak mengubah pendekatannya, kita berisiko ketinggalan berbanding pesaing serantau yang telah memodenkan dasar cukai mereka untuk menggalakkan pelaburan dalam hiburan keluarga. Ini sektor yang berpotensi besar,” tegasnya.

Tambah beliau, Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menjadi destinasi hiburan keluarga terkemuka di Asia Tenggara namun cukai  akan terus membebankan.

“Dengan memansuhkan atau menyemak semula Akta 1953 yang ketinggalan zaman ini, Malaysia dapat mewujudkan iklim pelaburan lebih menarik, menggalakkan pengendali global untuk membuka tarikan baharu dan memperluaskan yang sedia ada.

“Industri taman tema dan tarikan keluarga yang berkembang pesat akan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking daya saing pelancongan global di mana negara ini kini berada di tangga ke-38 (Laporan Daya Saing Pelancongan dan Perjalanan Forum Ekonomi Dunia).

“Negara-negara jiran seperti Thailand dan Singapura berada di kedudukan lebih tinggi, sebahagiannya kerana struktur cukai mereka yang lebih progresif yang menggalakkan pertumbuhan hiburan keluarga,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here