Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar akan menyediakan laporan berkenaan cadangan berkenaan pensijilan halal mandatori di kedai-kedai makan bukan Islam untuk dibentangkan ke Kabinet minggu depan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ia merupakan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Mohd Na’im  berbuat demikian.

“Perdana Menteri sudah meminta Menteri Agama untuk menyediakan laporan, apakah langkah seterusnya untuk dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Fahmi berkata demikian menjawab pertanyaan berhubung persoalan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang berkata, tindakan Mohd Na’im berhubung perkara itu didakwanya memulakan kontroversi sehingga menjadi polemik ketika ini.

Menurutnya, Mohd Na’im tidak sewajarnya mendedahkan cadangan berkenaan pensijilan halal mandatori itu sebelum ia dibincang dan dimuktamadkan oleh Kabinet.

Malah, katanya, isu tersebut kini sudah dikatakan menyentuh perkara berkenaan raja, agama dan kaum (3R) selepas komen diberikan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mendakwa kenyataan Teresa berhubung pensijilan halal seolah-oleh memberi gambaran salah terhadap Islam – Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mahu semua pihak menunggu hasil laporan dan kajian daripada Menteri Agama selepas ia dibentangkan nanti.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, perkara berkenaan pensijilan halal sememangnya dibincangkan Kabinet dari semasa ke semasa terutama dalam segi pelaksanaan.

Bagaimanapun, katanya, daripada segi dasar, Jemaah Menteri akan menunggu pembentangan yang akan dibuat oleh Mohd Na’im nanti. – MalaysiaGazette