KUANTAN – Pahang sudah pasti tidak mahu melepaskan peluang menjadi sebahagian daripada pasaran halal dunia dengan menawarkan pelbagai inisiatif dan lokasi strategik untuk pembangunan industri berkenaan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha tersebut termasuk pembinaan termasuk taman perindustrian, hab logistik serta pelabuhan pematuhan halal di negeri itu.
Usaha diteruskan apabila kerajaan negeri menyertai Lawatan Kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Shanghai, China bagi melihat potensi pelaburan industri halal dari China ke Malaysia khususnya di Pahang.
“Lawatan kerja dimulakan dengan mesyuarat pre-council dan kemudiannya diteruskan dengan sesi Dialog Gerbang Halal Malaysia-China bersama kira-kira 30 pelabur China yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.
“Ia kemudiannya diteruskan dengan sesi khas Kerajaan Negeri Pahang bersama pelabur China yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan diakhiri dengan Forum Perniagaan Halal Malaysia-China.” katanya dalam kenyataan.
Jelas Wan Rosdy, industri halal dilihat semakin meningkat di mana pada tahun 2021 masyarakat Islam seluruh dunia membelanjakan USD2 trilion.
Ia meliputi sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, fesyen, pelancongan dan rekreasi dan ia dijangka meningkat kepada USD2.8 trilion menjelang tahun 2025 dengan sektor makanan dan minuman halal merupakan pasaran terbesar.
Tambah Wan Rosdy, Pahang menawarkan beberapa lokasi kepada syarikat yang berminat untuk melabur di Pahang, Bandar Pelabuhan Kuantan Halal Hub, Gebeng Halal Hub seluas 750 ekar, Gambang Halal Hub (169 ekar) Bentong Halal Hub (36.29 ekar) dan MCKILP Halal Hub Logistik (25 ekar)
”Saya begitu optimis pasaran industri halal mampu berkembang dengan baik di Malaysia khususnya di Pahang yang secara langsung akan meningkatkan ekonomi negeri serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
”Untuk itu, saya menyeru agar lebih banyak syarikat dan juga pelabur untuk bekerjasama dan melabur di Pahang dalam industri halal ini,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :