Pekerja mengadakan bantahan untuk menuntut gaji yang lebih tinggi dan pengiktirafan kesatuan mereka, di kilang Samsung India di Sriperumbudur, dekat Chennai pada 11 September 2024. Foto AFP

MUMBAI – Pekerja-pekerja Samsung Electronics di selatan India melancarkan mogok ari Rabu untuk menuntut gaji dan waktu kerja yang lebih baik.

India ialah negara paling ramai penduduk di dunia dan kelas pertengahannya yang semakin meningkat merupakan pasaran pertumbuhan yang penting bagi Samsung, sebuah syarikat yang pengeluarannya menyumbang hampir satu perempat daripada keluaran dalam negara kasar Korea Selatan.

Mogok minggu ini menandakan ketidakpuasan hati pekerja, dengan beribu-ribu pekerja kesatuan sekerja mogok di Korea Selatan pada bulan Julai kerana gaji dan faedah.

Beratus-ratus pekerja Samsung melancarkan mogok sejak Isnin di sebuah kilang di luar bandar selatan Chennai yang menggaji kira-kira 1,800 pekerja untuk membina televisyen, peti sejuk dan barangan pengguna lain.

“Selain gaji yang lebih tinggi dan waktu kerja yang lebih baik, kami juga menuntut syarikat itu mengiktiraf kesatuan kami,” kata E. Muthukumar, wakil pekerja dan ketua kesatuan.

“Kami telah memberikan tuntutan kami kepada syarikat dan sedang berbincang dengan mereka,” katanya kepada AFP.

Muthukumar berkata, mogok itu telah menjejaskan pengeluaran kilang terbabit.

Tetapi jurucakap Samsung India berkata kebajikan pekerja adalah “keutamaan utama” bagi firma itu dan ia memastikan tiada “gangguan” kepada pelanggan syarikat.

“Kami terlibat secara aktif dengan pekerja kami untuk menangani sebarang rungutan yang mungkin mereka alami dan mematuhi semua undang-undang dan peraturan,” kata jurucakap itu, tanpa memberikan butiran lanjut.

India merupakan sebagai hab pembuatan yang baru muncul kepada gergasi teknologi dengan mempelbagaikan pengeluaran dari China, berikutan ketegangan geopolitik dengan Amerika Syarikat dan masalah ekonomi yang lain.

Samsung juga memiliki kilang telefon mudah alih terbesar di dunia di pinggir New Delhi, dengan kapasiti kira-kira 120 juta unit setahun. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here