Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden berucap pada Perasmian Pra Muktamar Dewan Pemuda PAS di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

TEMERLOH – Pemuda Pas menggelarkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘gabungan jahat kuasa dua’.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, gelaran itu diberikan apabila kedua-dua gabungan itu dilihat tidak ikhlas dalam membangunkan negara.

“PH kita tahu rekod prestasi mereka sebelum ini gagal mentadbir 22 bulan bergabung pula dengan BN yang ditunjangi oleh UMNO yang juga telah gagal dan ditolak oleh rakyat dalam PRU yang lepas.

“Kedua-dua kumpulan ini ada agenda yang tersendiri, mereka tidak berhasrat untuk memajukan negara, politik yang mereka pamerkan adalah politik dendam yang sudah ditolak oleh sebahagian daripada anak muda pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas kali ke 65 yang diadakan di Temerloh, malam tadi.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hadir merasmikan Muktamar Pemuda Pas.

Jelas Afnan lagi, gabungan yang kini memerintah Putrajaya hanya bergabung atas kepentingan politik masing-masing.

“Politik mereka gunakan untuk kepentingan parti mereka, apabila PH dan BN ini bergabung terbentuk antara orang jahat bergabung dengan orang jahat jadilah mereka jahat kuasa dua.

“Kita (Pas) berada dalam pembangkang untuk berdepan dengan jahat kuasa dua ini, maka sudah tentulah muktamar yang sedang berlangsung.

“Bermula malam ini bukan perkara yang main-main, ini adalah perkara yang besar kita mesti tetapkan langkah untuk kita atur strategi, untuk kita susun mengenai apa yang kita nak buat supaya terus menambat hati pengundi khususnya pengundi muda dan menyelamatkan negara dariapda ditadbir oleh orang yang merosakkan negara pada hari ini,” katanya lagi.

PRU15 pada 19 November 2022 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong ke 16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar parti dan gabungan politik mempertimbangkan penubuhan Kerajaan Perpaduan bagi mengakhiri kemelut pembentukan kerajaan pasca-PRU15.

Hasil rundingan antara parti-parti, akhirnya bersetuju dan menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diterajui PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast