Hamzah (baju batik) bersama Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beredar selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan beliau bagi mengembalikan semula perintah melepas dan membebaskan beliau daripada empat pertuduhan berkaitan projek Jana Wibawa di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengembalikan semula perintah melepas dan membebaskan beliau dalam pertuduhan projek Jana Wibawa dianggap mengecewakan.

Namun Parti Bersatu akan berbincang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan barisan peguam untuk langkah perundangan seterusnya.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perjuangan mereka tidak akan sesekali terhenti dengan pendakwaan politik sebaliknya ia memperkukuhkan lagi solidariti dan tekad kita bagi menentang segala kezaliman.

“Bersatu berdiri teguh bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sesungguhnya yakin Allah akan membantu mereka yang dizalimi,” katanya dalam kenyataan.

Pagi ini di Putrajaya, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhyiddin bagi mengembalikan semula perintah melepas dan membebaskan beliau dalam pertuduhan projek Jana Wibawa.

Keputusan itu dibuat panel lima hakim Mahkamah Rayuan (panel lain) dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jana Wibawa: Mahkamah Rayuan tolak permohonan Muhyiddin

1 Komen

  1. Pendakwaan politik konon. TSMY perlu dicutikan sehingga kes mahkamah selesai. Hamzah bila lagi. Tak sabar nak tengok mereka ni duduk di kandang pesalah.

Comments are closed.