KUALA LUMPUR – Bekas Pembantu Penyelidik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther telah ditahan polis sejak Jumaat lalu.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang membuat pengesahan tersebut berkata, Muhammed Yusoff telah ditahan oleh sepasukan anggota polis di ibu negara kiri-kira pukul 9.30 pagi.
Menurutnya, polis dilaporkan menjumpai dua pucuk pistol dan dadah disyaki ganja kira-kira 305 gram dalam kereta yang dinaiki Muhammed Yusoff.
Beliau mendakwa, siasatan dijalankan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 setelah reman pertama berkaitan Akta Senjata Api 1960 ditolak.
“Yusoff telah menyatakan secara jelas pada pihak siasatan bahawa pistol dan dadah tersebut bukan miliknya dan dia tiada kena mengena dengan barangan terlarang tersebut. Ujian saringan air kencing juga negatif.
“Yusoff juga telah menyatakan dalam rakaman percakapannya bahawa pistol dan dadah tersebut diletakkan dalam keretanya sebagai perangkap (the guns and drugs were planted) oleh pihak-pihak yang mempunyai dendam atau permusuhan dengan beliau.
“Mereka-mereka yang Yusoff maksudkan telah pun dibekalkan nama serta kaitan penama-penama tersebut dengan pimpinan politik negara,” katanya dalam kenyataan.
Muhammad Rafique berkata, Muhammed Yusoff juga risau keselamatannya tambahan kes-kes sivil beliau sebelum ini terkait dengan individu-individu berpengaruh dan masih berjalan.
Tambah beliau, Muhammed Yusoff dan peguam telah memohon untuk membuat laporan polis mengenai perkara ini dan surat berkaitan telah diutus.
Katanya, keperluan membuat laporan polis ini adalah supaya pembelaan Yusoff dimajukan pada seawal mungkin agar ianya tidak dilabel afterthought atau rekaan.
Reman terhadap Muhammed Yusoff akan tamat esok dan perkembangan selanjutnya akan diketahui lewat petang ini.
Media sebelum ini melaporkan Mahkamah Tinggi menetapkan tujuh hari bermula 16 Jun tahun depan untuk perbicaraan penuh berhubung saman Muhammad Yusoff yang mendakwa dirinya diserang secara seksual oleh Perdana Menteri.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Johan Lee Kien How menetapkan 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun tahun depan.- MalaysiaGazette