GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama INTI International College Penang berjaya menganjurkan program “Mengubah Naratif Terhadap Bunuh Diri”.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, program itu bertujuan untuk memecahkan stigma dan kesunyian mengenai isu bunuh diri dan kesihatan mental.

Jelas beliau, tidak terkecuali mempromosikan perbincangan terbuka bagi meningkatkan kesedaran serta sokongan terhadap golongan yang terlibat.

“Pogram berkenaan menarik seramai 150 peserta terdiri daripada pelajar, kakitangan akademik, ibu bapa, sukarelawan Befrienders Penang serta ahli komuniti.

“Mengikut data dari Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2022, sebanyak 13 peratus remaja pernah mempunyai niat bunuh diri, manakala kadar cubaan bunuh diri meningkat daripada tujuh peratus kepada 9.5 peratus bagi tempoh 10 tahun lalu.

“Kita turut bimbang terhadap trend ini dan menyeru masyarakat bagi bekerjasama dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong dan prihatin kepada kesihatan mental,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Daniel berkata, porgram tersebut turut menekankan kesihatan mental dan fizikal belia adalah penting untuk masa depan negara.

“Belia bukan sahaja pemimpin masa depan, tetapi juga inovator dan pendorong utama perkembangan sosial negara.

“Oleh itu, kita harus memastikan kesihatan mental dan fizikal mereka sentiasa dalam keadaan baik,” katanya.  -MalaysiaGazette