KUALA LUMPUR – Tiga ‘Awang Hitam’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan ke atas seorang lelaki warga Jepun berjumlah USD$30,000 di ibu negara pada awal Ogos lalu.
Kesemua tertuduh melibatkan dua warga Siera Leone, Patrick Samba, 34, Ibrahim Jalloh, 36, dan seorang warga Liberia, Douglas Daniel Devine, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Egusra Ali.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama melakukan rompakan berkumpulan dengan dua lagi individu ke atas mangsa, Hiroyuki Azuma, 58, berjumlah USD $30,000 atau bersamaan RM130,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah restoran dalam sebuah pusat beli-belah The Gardends Mall, Mid Valley pukul 1.30 petang pada 9 Ogos lalu.
Berikutan itu, pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesemua tertuduh tidak memiliki perjalanan yang sah.
Sementara itu, peguam, AR. Palaya mewakili tertuduh berkata, ketiga-tiga anak guamnya itu mempunyai dokumen perjalanan sah sama ada ia disimpan oleh ejen masing-masing ataupun di kolej tempat mereka belajar.
Tambah Palaya, pihaknya turut meminta mahkamah untuk memohon satu tarikh baharu yang singkat bagi pengesahan dokumen perjalanan kesemua tertuduh.
Egusra bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas kesemua tertuduh dan menetapkan tarkh sebutan semula kes pada 25 September depan bagi pengesahan dokumentasi.
Terdahulu kesemua suspek warga Afrika telah ditahan kerana kerana melarikan wang tunai USD$30,000 di pusat beli-belah Mid Valley di sini pada 9 Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, ketiga-tiga tertuduh dikatakan bertemu dengan seorang mangsa dan rakannya dipercayai berkaitan urusan jual beli emas dan berlian.
Secara tiba-tiba kesemua suspek bertindak memukul mangsa dan rakannya hingga mengalami kecederaan ringan sebelum melarikan diri bersama wang tunai berkenaan.- MalaysiaGazette