Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran meluahkan kekecewaannya ekoran isu titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 membabitkan tahanan di rumah kepada Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang merupakan penyokong tegar bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun pelbagai pihak berkepentingan termasuklah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah melihat titah itu namun isu itu seolah-olah telah mati begitu sahaja.

Menurutnya, banyak sangat dolak dalih mengenainya dan pihak yang terlibat sepatutnya bersikap lebih amanah dan bertanggungjawab.

“Saya cakap dengan anda, jika betul ada titah adendum itu, katakan. Jika tiada, cakap tidak dan kita semua boleh move on. Kita semua perlukan kesahihan, kita perlukan kejujuran. Cuba berlaku adil kepada beliau (Najib).

“Tidak semestinya isu ini bangkit kerana akhirnya Datuk Seri Najib sendiri bawa isu ini ke mahkamah bagi mendapatkan pengadilan itu. Jujur, ikhlas. Jika ada, katakan ya,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Thanenthiran terkejut apabila pengesahan seseorang yang berstatus pemimpin nombor dua negara seperti Ahmad Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri (TPM) juga dianggap sebagai hearsay  oleh Mahkamah Tinggi.

“Datuk Seri Zahid nampak sendiri nampak surat itu, bila bawa ke mahkamah keputusannya ditolak kerana sekadar hearsay. Pelik juga kerana yang cakap ini (afidavit) bukan calang-calang tapi TPM.

“Apakah yang sedang berlaku dalam negara ini? Saya rasa sudah tiba masanya kita perlu bangkit bersuara,” tegasnya.

Dalam pada itu, Thanenthiran juga mengetengahkan bagaimana ironinya kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi Najib di negara ini.

Kata beliau, kes-kes membabitkan penyelewengan dana 1MDB juga ada dibicarakan di mahkamah luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan juga Switzerland namun nama Najib tidak pula terpalit.

“Tapi di negara sendiri, beliau (Najib) diperlakukan oleh segelintir pihak untuk memastikannya dipenjara dan ia telah dilakukan ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

“Saya beri contoh, baru-baru ketika Mahkamah Jenayah Switzerland ketika menjatuhkan hukuman penjara dan denda kepada dua penyeleweng dana 1MDB, Tarek Obaid dan Patrick Mahony hanya dikaitkan dengan Jho Low sahaja yang kini masih lagi dalam buruan.

“Nama lain yang disebut ialah keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BN), Tan Sri Zeti (Akhtar Aziz) yang juga telah menerima duit daripada Jho Low. Mahkamah Switzerland kata, beliau tidak terlibat dalam penyelewengan dana itu, beliau tidak curi. Satu dunia ketawakan kita sebenarnya.

“Kita semua tahu, semua ini adalah konspirasi pendakwaan terpilih, pendakwaan bermotifkan politik dengan agenda mahu jatuhkan Najib, itu sahaja,” ujarnya.

Thanenthiran juga mempersoalkan bagaimana Datuk Seri Azalina Othman Said yang kini Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi lantang mengenai isu Batu Putih dan Sulu namun ketidakadilan terhadap Najib ‘dibisukan’.

“Dulu beliau sangatlah lantang pertahankan Najib, kini kenapa diam seribu bahasa?” soalnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here