Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan menu babi dan alkohol untuk memiliki sijil halal adalah usaha murni demi menjaga kepentingan umat Islam.

Namun, Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Datuk Mohammad Sahar Mat Din berpendapat, cadangan itu perlu diperhalusi sebaik-baiknya.

Ini kerana daripada sekitar 1.1 juta perusahaan berstatus mikro, kecil dan sederhana, majoritinya terdiri daripada kategori mikro dan kecil.

“Pada hemat DPIM, rata-rata perniagaan yang berstatus mikro dan kecil tidak mempunyai keupayaan untuk mendapatkan pensijilan halal atas pelbagai faktor.

“Antara yang mungkin menjadi halangan adalah keupayaan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk memperoleh sijil halal dan keupayaan kewangan serta keupayaan operasi yang terhad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya sesi libat urus diadakan bersama pemegang-pemegang taruh industri halal.

Ini bagi mendapatkan lebih banyak pandangan dan maklum balas yang mana boleh membantu pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengkaji cadangan tersebut.

Datuk Mohammad Sahar Mat Din

Pelaksanaan mewajibkan pensijilan halal juga boleh dilaksanakan secara berperingkat.

Pendekatan itu telah diamalkan di Indonesia yang mana semua produk keluaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana di negara itu diwajibkan mempunya pensijilan halal bermula Oktober ini.

Jelasnya lagi, jika dilihat dari sudut bilangan penduduk dan perniagaan di Indonesia yang jauh lebih besar dan kompleks, DPIM percaya Malaysia mampu untuk melaksanakannya dengan lebih efektif.

“Dalam masa yang sama, DPIM turut berpandangan bahawa adalah penting juga usaha- usaha untuk menaik taraf tahap perniagaan usahawan khususnya daripada status mikro ke kecil dan ke tahap seterusnya dipergiatkan melalui pelbagai program-program yang bersifat komprehensif dan tidak silo di antara agensi-agensi kerajaan.

“Ia secara langsung dapat meningkat keupayaan sesebuah perniagaan itu dan seterusnya mampu dan mudah untuk mematuhi aspek-aspek pematuhan pensijilan halal yang telah ditetapkan.

“DPIM juga yakin dengan pelaksanaan pensijilan halal yang meluas di kalangan semua jenis usahawan yang berkaitan secara langsungnya bukan hanya akan memberikan capaian jaminan halal yang lebih meluas kepada umat Islam malah akan dapat meningkatkan bilangan pemain industri halal bukan hanya di peringkat domestik malah di peringkat global.

“Sudah pasti ianya akan menaikkan lagi imej negara bukan hanya sekadar mempunyai standard pematuhan halal yang terbaik dan dicontohi pada masa ini malah disegani kerana turut mempunyai syarikat berstatus halal yang berdaya saing tinggi,” ujar beliau lagi.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here