Polis melakukan serbuan di sebuah premis perniagaan selepas dipercayai terlibat menjual loteri haram di sekitar Batu Pahat, semalam.

JOHOR BAHRU – Sembilan lelaki dan dua wanita diberkas dalam serbuan berasingan ke atas premis perniagaan yang dijadikan lokasi menjual loteri haram di sekitar Batu Pahat, semalam.

Serbuan itu dilakukan anggota dan pegawai Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pukul 5.45 hingga 6.45 petang.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar memberitahu, serbuan tersebut turut disertai  pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

“Seramai 11 orang yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 19 hingga 51 tahun yang dipercayai membantu dalam menjalankan loteri awam telah ditangkap.

“Pelbagai peralatan seperti pen, kertas putih bercatit angka-angka, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM1,457 dirampas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika sabit kesalahan ujar beliau, hukuman denda RM20,000 hingga RM200,000 dan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

Dalam perkembangan sama, Kumar berkata, bermula 1 Januari lalu sehingga semalam, polis Johor membuat sebanyak 1,222 serbuan dan menangkap 1,227 individu.

Jelasnya, individu berkenaan melibatkan pecahan 1,182 warga tempatan dan 454 warga asing kerana disyaki terlibat kegiatan loteri awam tanpa lesen.

“Pecahan jantina pula melibatkan 1,080 lelaki warga tempatan, 21 lelaki warga asing dan 102 wanita warga asing,” katanya.

Tambahnya, pelbagai peralatan seperti pen, kertas putih bercatit angka-angka, penceta bergerak, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai RM128,293 dirampas.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here