Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank Tuan Syed Hairul Anuar Syed Fadzil menyerahkan replika cek kepada Abdul Razak Aya, Ketua Pertanian Bersepadu FGV.

SERDANG – Agrobank hari ini memeterai perjanjian strategik Program Pembiayaan Pertanian Ladang Kontrak dengan FGV Holdings Berhad (FGV) melalui anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF) Integrated Farming Holding Sdn Bhd.

Skim pembiayaan yang merangkumi perbelanjaan operasi ladang ini dikhususkan kepada para petani kontrak di bawah FGVIF dengan jumlah peruntukan pembiayaan sebanyak RM15 juta yang akan dilaksanakan di FGV Chuping Agro Valley di Chuping, Perlis.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, hasil kerjasama strategik antara Agrobank dan FGVIF membuka peluang kepada bakal petani atau yang sedia ada untuk mendapat bantuan kewangan bagi menjayakan pertanian tanaman nanas.

Agrobank menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi setiap peserta yang layak.

Had pembiayaan maksimum ini mewujudkan prospek yang luas kepada para usahawan agro untuk menggiatkan operasi tanaman mereka, melabur dalam teknologi moden, dan meningkatkan produktiviti.

“Industri nanas di Malaysia memiliki potensi yang besar dan perlu diterokai. Tambahan pula, permintaan tinggi dari pasaran antarabangsa sepatutnya menjadi penggerak utama untuk negara kita meningkatkan pengeluaran dan eksport nanas.

Justeru, melalui pembiayaan dan sokongan Agrobank, kami berhasrat untuk menarik lebih ramai penglibatan usahawan tani ke dalam sektor ini, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan eksport nanas

“Kerjasama strategik antara FGVIF dan Agrobank dalam program FGV Agro Rangers ini menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM15 juta bagi membantu mengembangkan perniagaan petani yang berpotensi. FGV komited dalam memperkasakan petani tempatan melalui inisiatif-inisiatif inovatif seperti program ini.

“Kita bersama-sama membina masa depan pertanian yang lestari, bukan sahaja dengan mempertingkatkan keupayaan petani tempatan, malah turut menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara,” kata Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV. – MalaysiaGazette