KUALA LUMPUR – Akta Pembaharuan Semula Bandar yang kini dalam proses penggubalan perlu dipastikan tidak mengurangkan komposisi kaum bumiputera di bandar.
Selain itu pembangunan baharu menerusi akta itu kelak mesti berdasarkan peratus komposisi umum rakyat Malaysia dengan peruntukan kuota-kuota pemilikan dilaksanakan menurut peratusan tersebut.
Perkara itu merupakan antara salah satu daripada 14 cadangan yang disuarakan Pas untuk dipertimbangkan dalam proses penggubalan akta berkenaan yang kini sedang dijalankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah Pas Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, selain itu, Pas juga mahu pembangunan semula bandar baharu kelak diterajui sepenuhnya oleh agensi kerajaan atau syarikat milik kerajaan (GLC) tanpa melibatkan pegangan asing sama sekali.
Tambah beliau, penduduk sedia ada juga perlu dipastikan tidak diketepikan atau dipindahkan ke tempat lain tetapi akan digantikan dengan hartanah di tapak yang dibangunkan.
“Hartanah yang digantikan hendaklah sepadan dengan hartanah yang dipasarkan di pembangunan baharu.
“Penduduk sedia ada juga perlu dilayan sebagai rakan kongsi dalam sebarang pembangunan semula. Mereka hanya boleh dipindahkan keluar dalam tempoh pembinaan pembangunan baharu dan dipindahkan semula ke tapak asal apabila siap dibina.
“Kos perumahan, pemindahan, dan kos sampingan hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh pemaju,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah Ahmad Amzad, Pas juga mahu pembangunan baharu kelak mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat dengan kerajaan perlu memastikan terdapat satu skim pembiayaan untuk membantu rakyat memiliki hartanah di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, katanya, Pas turut mencadangkan Sekretariat Tanah Rizab Melayu diwujudkan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang melibatkan tanah-tanah tersebut dan memastikan kewujudannya.
Ujar beliau, pembangunan semula Tanah Rizab Melayu mesti bersesuaian dengan kemampuan pemilikan orang Melayu dan perlu mengekalkan status tanah berkenaan, manakala sebarang penjualan atau pemilikan perlu selaras dengan status tanah tersebut.
“Pembangunan baharu perlu realistik dengan kemampuan membeli rakyat agar tidak berlaku hartanah yang tidak terjual. Ini untuk mengelakkan kerugian kepada pemaju atau rakyat asing mengambil kesempatan dengan membelinya.
“Kuota-kuota bumiputera yang tidak terjual hendaklah diserahkan kepada entiti kerajaan yang sedia ada atau entiti baharu diwujudkan untuk dipegang sehingga dapat dijual. Sehingga itu, ia akan disewakan kepada bumiputera.
“Masa depan tanah-tanah wakaf perlu diberi perhatian khusus apabila terlibat dengan pembangunan supaya tidak tersasar dari tujuan asal tanah wakaf tersebut,” katanya.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan telah bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar yang akan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.
Ujar beliau, akta itu perlu digubal bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar. – MalaysiaGazette