Belajarlah untuk mengawal dan membentuk pemikiran yang positif setiap hari (Zulmaury Saavedra - Unsplash)

BUKAN badan dan wajah sahaja yang perlu dijaga, tetapi psikologi diri juga perlu dititikberatkan. Kesejahteraan psikologi menekankan tiga komponen utama iaitu pemikiran, emosi dan tingkah laku (PET). Pemikiran adalah perkara pertama perlu dititikberatkan kerana boleh menganggu emosi dan tingkah laku seseorang.

Sebagai contoh, apabila bangun pagi apa perkara pertama yang terlintas difikiran? Adakah perkara positif, atau negatif? Jika seseorang memulakan hari dengan memikirkan sesuatu yang negatif, pandangan terhadap sesuatu yang berlaku mungkin akan menjadi negatif, sekali gus memberi kesan pada emosi dan tingkah laku.

Komponen emosi boleh terhasil daripada corak pemikiran seseorang. Sebagai contoh, seorang isteri yang mempunyai pemikiran negatif dan memikirkan hidup ini tidak lagi berguna kerana dilahirkan untuk dihina, makanya emosi wanita tersebut akan berasa sedih, marah, kecewa dan bercampur baur. Lebih merisaukan apabila si isteri terpaksa menanggung emosi negatif ini setiap hari dan lebih parah lagi jika isu penderaan ini masih berlarutan. Beliau bukan sahaja menanggung emosi yang sama, tetapi terperangkap dalam emosi negatif setiap masa.

Manakala komponen ketiga adalah tingkah laku terhasil daripada pemikiran dan juga emosi seseorang individu sama ada positif mahupun negatif. Tingkah laku negatif akan meninggalkan kesan buruk pada diri seseorang individu dan tidak mustahil ia boleh memberikan kesan sama pada orang sekelingnya.

Contohnya, isteri yang menjadi mangsa penderaan rumah tangga, kebiasaannya akan mula mengelakkan diri daripada orang ramai kerana takut dengan pemangsa serta risau dengan persepsi orang lain. Lebih merisaukan lagi jika mangsa mempunyai anak dan secara tidak langsung mangsa akan melepaskan tekanan yang dihadapinya kepada anak-anak.

Melihat kepada penerangan aspek di atas adalah jelas penjagaan psikologi seseorang individu amatlah penting kerana terkait rapat dengan kefungsian hidup. Sebagai contoh dari sudut pekerjaan, pendidikan, kekeluargaan dan banyak lagi. Kesihatan psikologi seseorang akan mendatangkan hasil yang baik bukan sahaja buat dirinya tetapi kepada orang sekelilingnya. Beberapa perkara boleh dilakukan bagi memerdekakan diri kita daripada terperangkap dengan unsur-unsur yang negatif.

Pertama, elakkan diri dari persekitaran yang tidak sihat. Contohnya apabila berhadapan dengan rakan-rakan yang toksik atau individu yang sering memberikan stigma yang negatif kepada diri, keluar dari kelompok tersebut. Lebih baik sekiranya kesejahteraan mental terjaga daripada dibelenggu dengan perasaan negatif yang boleh memudaratkan kesihatan.

Kedua, lakukan aktiviti yang boleh meningkatkan nilai positif pada diri dengan cara melakukan aktiviti riadah pada waktu petang, berinteraksi dengan alam, bergaul dengan rakan-rakan yang memberikan motivasi baik pada diri.

Ketiga, melakukan penghargaan kepada diri sendiri dengan memberikan ruang buat diri untuk refleksi kendiri. Hal ini secara tidak langsung akan membantu seseorang membentuk kekuatan diri secara dalaman serta luaran dan memperolehi pemikiran yang lebih positif daripada sebelumnya.

Keempat kenal pasti perkara yang berada dalam kawalan dan luar kawalan. Amalkan konsep 90 dan 10 peratus. Di dalam kehidupan ini 90 peratus perkara yang berlaku adalah dalam kawalan individu dan hanya 10 peratus sahaja yang tidak boleh dikawal.

Contohnya dalam satu situasi suami bersiap seperti biasa untuk ke tempat kerja, namun begitu ketika sarapan bersama keluarga anaknya perempuannya tidak sengaja menumpahkan air kopi di meja makan dan terkena sedikit pada bajunya. Melalui situasi ini jelas air kopi yang tumpah adalah perkara yang berlaku di luar kawalan, jadi untuk memastikan diri kekal positif individu perlu memupuk diri untuk berfikir secara positif, mengawal emosi dan kemudiannya menunjukkan tingkah laku dan respons yang positif supaya tidak tewas dengan perkara yang hanya 10 peratus sahaja berada diluar kawalan.

Kelima,  dengan meningkatkan nilai spiritual dalam amalan seharian dan ini mengikut kepada ajaran agama masing-masing. Jika dilihat dalam agama Islam bantuan dan pertolongan yang mutlak adalah melalui Allah SWT iaitu dengan cara melaksanakan segala perkara yang diperintahkan kepada Allah serta meninggalkan segala larangannya. Dalam surah al-Baqarah ayat 153, Allah berfirman “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”. Melalui ayat ini jelas bahawa solat itu perkara yang penting kerana ianya dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT dan dapat mendatangkan ketengan pada diri seseorang individu yang melaksanakan suruhannya.

Melalui lima perkara di atas ini, dapat membantu kita mengekalkan diri dengan perkara yang positif sekali gus menjauhkan kita dari segala unsur-unsur negatif yang boleh timbul. Bebaskanlah diri dari unsur yang negatif, fikirkan perkara positif dan nikmati kehidupan dengan sebaiknya. Mari kita sama-sama belajar untuk mengawal dan membentuk satu pemikiran positif setiap hari serta jadikan hari-hari tersebut sebagai hari yang baru. Pastinya banyak perkara yang dapat dipelajari dan boleh diperbaiki untuk menjadi yang lebih baik dari sebelumnya.

Oleh: Prof Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor adalah Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar) di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya; Nur Nadhirah Mat Nawi adalah Kaunselor Pelatih Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast