Naib Ketua Pemuda DPPN Kelantan, Mohamad Firdaus Mohamed Nawi berucap semasa Pembahasan dan Pergulungan pada Muktamar Dewan Pemuda PAS di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2024

TEMERLOH – Dalam membalas serangan yang dilemparkan musuh politik Pas terutamanya DAP, Dewan Pemuda Kelantan menggesa agar parti turut menjaga hati bukan Islam yang menyokong mereka.

Perwakilan Kelantan, Firdaus Mohamed Nawi berkata, kepimpinan parti perlu mengelak daripada terperangkap dengan situasi di mana menyerang pemimpin DAP dan dalam masa yang sama turut mengguris perasaan bukan Islam di negara ini.

“Pastikan sahabat-sahabat dalam kita membalas serangan kepada DAP jangan tempiasnya terkena rakan-rakan kita dari kaum Cina dan India yang sesungguhnya masih ramai cintakan kedamaian dan keharmoniaan sebagai rakyat Malaysia.

“Jangan marahkan nyamuk, kelambu di bakar, jangan menembak peluru tabur sehingga sasaran dakwah kita daripada bukan islam merasa kita turut menyasarkan mereka,” katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden di Kompleks Daruk Makmur, Kerdau hari ini.

Awal hari ini, Afnan berkata, parti harus menjauhkan anggapan bahawa bukan Melayu adalah pengundi Pakatan Harapan (PH) mahu pun DAP.

Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, anggapan tersebut perlu dibuang jauh oleh Pas kerana ia hanyalah stigma politik semata-mata. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here