Logo Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.

KUALA LUMPUR – Persatuan Alumni Matrik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 1996 (ALMA96) menyifatkan kenyataan Persatuan Alumni UIAM berkenaan lantikan Rektor baharu sebagai tidak sesuai dan dangkal.

Pengerusi ALMA96, Mohamed Ibrahim K.P. Kunji Mohamad berkata, Persatuan Alumni UIAM tidak sepatutnya mendesak kerajaan untuk mempercepatkan lantikan Rektor baharu.

Tegas beliau, kerajaan tentunya sedar dan memahami kepentingan untuk mengisi kekosongan jawatan Rektor UIAM dan pemilihan calon terbaik pastinya menjadi keutamaan.

“Selain mencermati gagasan tata kelola dan proses ketekunan wajar yang akan dilaksanakan, tentunya kerajaan memahami identiti serta matlamat utama penubuhan UIAM.

“Calon yang dilantik mestilah berwibawa dan berkebolehan tinggi dari segi daya kepemimpinan organisasi, punya daya keintelektualan akedemia yang tinggi, mempunyai kesalinghubungan akademi tempatan dan antarabangsa yang sangat baik, serta punyai keiltizaman tinggi untuk membawa hala tuju matlamat UIAM sebagai sebuah universiti harapan ummah,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sebelum ini, Persatuan Alumni UIAM meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menyegerakan pengumuman rektor baharu university berkenaan.

Presidennya, Khalek Awang berkata, kekosongan jawatan rektor sejak 31 Ogos lalu dilihat tidak baik dari segi tatakelola.

Justeru, menurut Khalek, pelantikan rektor perlu dilakukan serta-merta bagi memulihkan kembali kedudukan UIAM yang telah menyimpang daripada falsafah asal penubuhan.

Sementara itu, Mohamed Ibrahim berkata, walaupun UIAM kebelakangan ini berdepan pelbagai isu, namun kejayaannya menduduki tangga kedua sebagai universiti Islam terbaik dunia berdasarkan Uniranks adalah bukti kepimpinan dan akademia universiti berkenaan berada dalam keadaan yang terbaik.

Jelasnya, UIAM masih berpegang kepada falsafah penubuhannya dalam kerangka yang praktikal, iaitu sesuatu yang bertentangan dengan kenyataan Persatuan Alumni UIAM yang dianggap dangkal.

Ujar beliau, UIAM juga masih menjadi pilihan utama bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan para graduannya sering mendapat pekerjaan tidak lama selepas bergraduasi.

“Ini menunjukkan prestasi dan reputasi UIAM tetap kukuh dan kami percaya proses pemilihan Rektor yang baharu akan dilakukan dengan teliti dan penuh tanggungjawab.

“Kami berharap agar semua pihak dapat menghormati proses ini dan tidak terburu-buru dalam membuat kenyataan yang boleh menjejaskan reputasi `Taman Ilmu dan Budi’ ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast