M Kumar

JOHOR BAHRU – Seramai 1,074 anggota polis di negeri ini akan berkhidmat sepanjang hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota  di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini, Sabtu ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, semua pegawai dan anggota berkenaan akan bertugas mengawal lalu lintas serta keselamatan sepanjang proses penanamaan calon.

“Pasukan ini akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik bagi memantau situasi dan mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengganggu kententeraman awam.

“Polis Johor menasihatkan agar calon-calon dan penyokong-penyokong parti yang terlibat mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ini bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku sebarang insiden yang mengganggu-gugat ketenteraman awam atau menyalahi undang-undang.

“Orang ramai dinasihatkan agar terus bersikap matang, saling menghormati dan mengelakkan daripada melakukan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan insiden tidak diingini.

“Ini kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.- MalaysiaGazette