Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin

TEMERLOH – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengeluarkan kenyataan berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang hari ini.

Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Hamzah akan mewakili perikatan tersebut untuk mengumumkan pendirian pembangkang berhubung MoU itu.

“Kena semak dengan kenyataan (Datuk Seri) Hamzah.

“Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang akan keluarkan kenyataan, hari ini,” katanya kepada media selepas mengiringi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang hadir Muktamar Dewan Pemuda Pas di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan PN menolak MoU berkenaan kerana tidak berpuas hati atas ‘kecacatan’ kandungan dan beberapa syarat yang perlu dipatuhi, kata sumber.

Sumber itu berkata, keputusan sebulat suara menolak dokumen yang disediakan kerajaan itu berdasarkan perbincangan bersama semua Ahli Parlimen pembangkang, Isnin lalu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah peruntukan tidak dinyatakan memandangkan terma bagi draf MoU itu masih belum dipersetujui PN.

Fadillah dipetik berkata, jumlah itu hanya akan diumumkan selepas keseluruhan terma terkandung dalam MoU itu dipersetujui kedua-dua pihak.

PN dilapor mendedahkan beberapa syarat didakwa dikenakan kerajaan yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan sebagai mana dituntut.

Secara keseluruhan terdapat tujuh syarat digariskan di bawah draf MoU yang diterimanya pada 6 Ogos lalu. – MalaysiaGazette