Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) mencadangkan satu pasukan khas ditubuhkan untuk menggempur dan menjadi pemerhati kepada operasi rumah-rumah amal.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, semua pemegang taruh perlu dilibatkan di bawah pasukan tetap dan berfokus itu bagi menjadikannya lebih cekap dan responsif.

Menurut bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkenaan, pasukan khas itu juga perlu diberikan autoriti bagi membolehkannya menjalankan tugas dengan pantas dan tepat.

“Masa depan anak-anak kita adalah justifikasi yang paling kukuh kepada kerajaan memperuntukkan lebih sumber tenaga dan masa bagi mewujukan pasukan fokus yang berautoriti ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahrizat mengulas mengenai laporan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah penjagaan di bawah Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) seperti didedahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Menurut Razarudin, siasatan polis mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan GISBH itu adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak lain.

Sementara itu, Shahrizat turut menggesa supaya semua pusat operasi GISBH yang diragui digempur dan kejadian yang menimpa kanak-kanak seperti dilaporkan tidak dibiarkan berulang.

Dalam masa sama, beliau berharap kanak-kanak yang menjadi mangsa dapat diberikan sokongan mental dan fizikal untuk dipulihkan supaya dapat kembali meneruskan hidup yang lebih berkualiti.

“HAWA Malaysia ingin bertanya, di manakah silapnya, apakah yang pincangnya, siapakah yang terlepas peduli, bila waktunya bermula kekaburan yang menjadi pemboleh keadaan penganiayaan kanak-kanak ini berlaku di hadapan mata kita?

“Pada akhirnya, saya percaya, setiap ahli masyarakat, tidak kiralah yang diberikan kuasa atau yang sekadar memikul kewajipan menjaga adalah bertanggungjawab secara kolektif untuk melindungi anak-anak kita,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera berkait kes itu dan tanpa berlengah membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menjadi pencetus dan penggerak menggempur operasi penganiayaan kanak-kanak ini termasuklah PDRM dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat),” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast